Home / Regular Issue / JTAS Vol. 2 (1) Mar. 1994 / JSSH-0028-1994

 

Kajian Kesesuaian dan Keberkesanan Raven SPM untuk Mengenal Pasti Kanak-kanak Melayu yang Pintar Cerdas

Abd Majid Mohd Isa

Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, Volume 2, Issue 1, March 1994

Keywords: Pintar cerdas, inventori, keberkesanan, ujian piawai, kecerdasan

Published on:

Kajian ini bertujuan menentukan kesesuaian inventori Raven SPM sebagai ujian kecerdasan secara kumpulan untuk menapis kanak-kanak pintar cerdas (gifted). Seramai 100 pelajar Melayu tingkatan satu, Sekolah Menengah Datuk Abdullah, Rembau merupakan responden bagi kajian ini. Mereka terdiri daripada yang mempunyai pencapaian yang baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan layak ke sekolah asrama penuh seluruh Daerah Tampin/Rembau. Ujian Raven SPM dan WISC-R diberikan kepada mereka. Responden yang mendapat skor IQ melebihi 120 dari ujian WISC-R dikelaskan sebagai pintar cerdas. Korelasi antara skor Raven SPM dengan IQ WISC-R adalah tinggi dan kedua inventori ini berkongsi varians bagi konstruk kecerdasan (criteria untuk pintar cerdas) sebanyak 65 peratus. Persamaan regresi untuk menganggarkan IQ (indeks kecerdasan) mendapati bahawa skor 50 boleh menganggarkan IQ 120 (pintar cerdas). Oleh kerana ralat bagi persamaan regresi ini tinggi, maka ramai kanak-kanak yang pintar cerdas mendapat skor kurang daripada 50 dan ini dinamakan false negative. Indeks keberkesanan dan kecekapan yang dikemukakan oleh Pegnato dan Birch (1959) diguna untuk menentukan sama ada skor 50 pada ujian Raven SPM dapat mengurangkan false negative. Oleh kerana skor yang kurang daripada itu akan menambahkan bilangan calon untuk diuji, satu skor yang ekonomikal dari segi kos perlu dikemukakan. Daripada dapatan penyelidikan ini, skor Raven SPM sebanyak 48 didapati dapat mengurangkan bilangan calon sebanyak 30 peratus dan skor ini mengandungi 85 peratus kanak-kanak pintar cerdas. Jika dibandingkan dengan skor yang lain, skor ini mempunyai indeks keberkesanan yang baik kerana seorang daripada tiga calon yang akan diuji seterusnya ialah kanak-kanak pintar cerdas.

ISSN 1511-3701

e-ISSN 2231-8542

Article ID

JSSH-0028-1994

Download Full Article PDF

Share this article

Recent Articles